Make your own free website on Tripod.com
Kembara ‘murah-murahan’ di

SUMBAR

Dewan Siswa, Rakaman Pengembara, Julai 2000

Kembara saya dan Not ke SUMBAR hanya berbekalkan RM1000.00 setiap seorang. Pada mulanya kami memang bercadang untuk mengembara dari Dumai hinggalah ke Bandar Lampung, di Selatan Sumatera...

Berdiri seperti tugu, lama-lama jadi tugu; di Perlabuhan Dumai

"Nabi kata, mengembara ni dapat pahala, sheikh!" Terpacul keluar dari mulut Salahuddin, bekas graduan Universiti Jordan, ketika kami bersarapan di warung mamak pagi itu.

"Tapi sheikh, mengembara ni banyak guna duitlah…" jawab saya sambil mencicip teh tarik panas yang masih penuh di bibir gelas.

"Tak jugalah! Saya dulu, ketika mengembara di beberapa buah negara di Asia Barat, tumpang kenderaan dan rumah kawan-kawan sahaja. Jimat belanja!" sampuknya lagi.

Sembang-sembang kami itu segera menggamit kenangan pengembaraan saya di Sumatera Barat (Sumbar), Indonesia. Benar kata pepatah, jauh perjalanan luas pandangan. Selain mendapat ilmu, hobi mengembara ini adakalanya tidak memerlukan perbelanjaan yang besar. Tetapi kembara ‘murah-murahan’ begini sering menuntut daya ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

Lebih mudah kalau mengembara bersendirian, hanya perlu memikirkan keperluaan diri sendiri sahaja. Tepuk dada tanya selera dan ikutkan sahaja ke mana kaki mahu melangkah. Mudah bukan? Tetapi tentu sahaja akan mengundang sepi kerana tiada teman untuk berbual. Kalau berteman, haruslah yang serasi. Jika tidak, sebarang keputusan tidak akan mencapai matlamat. Jika begini, lebih baik lagi jika bertiga.

Kembara saya dan Not ke Sumbar hanya berbekalkan RM1000.00 setiap seorang. Pada mulanya kami memang bercadang untuk mengembara dari Dumai hinggalah ke Bandar Lampung, di selatan Sumatera.

"Cukup ke duit banyak ni?" Tanya Not

"Entah! Kalau tak cukup, kita berhenti separuh jalan. Kita balik!" Jawapan saya nekad dan memutuskan terus keraguan di hati Not.

Perjalanan dengan feri dari Melaka ke Dumai yang biasanya mengambil masa 2 jam, tertunda menjadi 4 jam kerana keadaan yang berjerubu. Feri dengan muatan seramai 200 orang penumpang, yang rata-ratanya rakyat Indonesia, terpaksa menyusur dengan lebih berhati-hati. Tiada apa-apa yang boleh dilihat sepanjang waktu ‘terapung-apung’ di Perairan Antarabangsa ini kecuali air laut saujana mata memandang; dan kebosanan mula menapak di hati, alahai!

Jangan terkejut apabila sampai di perlabuhan, ejen-ejen teksi segera berpusu-pusu menawarkan khidmat mereka. Panik jadinya, apabila dikerumuni oleh puluhan manusia yang tidak dikenali menarik tangan kami ke kiri dan ke kanan. Keadaan menjadi sukar terutama untuk membolosi pintu keluar komples perlabuhan yang jauhnya 10 meter itu. Bagi mengatasi masalah ini, kami katakan, "Maaf pak, sudah ada yang menunggu kami!".

Sesuai dengan rupa bentuk muka buminya yang bergunung-ganang, penggunaan kenderaan pacuan empat roda adalah pilihan yang paling tepat. Dengar kadar sewa harian sebanyak RM130.00, kita sudah boleh bersantai-santai di dalam ‘Kijang’. Kami membayar RM15.00 untuk minyak bagi setiap perjalanan dan wang sagu hati sebanyak RM100.00 untuk seminggu kepada pemandu kenderaan, yang juga pemandu pelancong kami, Tupik.

Dari Dumai kami ke Pakan Baru, jauhnya kira-kira 5 jam perjalanan. Penat ‘duduk saja’ di dalam kenderaan, kami berhenti untuk ‘ngopi’ seketika. Serdak kopinya sahaja memenuhi 1/3 cawan dan tidak bertapis. Tidak susah untuk mencari makanan yang halal apabila berada di Sumbar. Cuma masakan ala-Minang ini tidak dapat memenuhi selera kami. Menunya hampir serupa setiap hari: nasi putih, sambal berlada, belut goreng, rendang, dan ayam masak lemak. Belumpun sempat melabuhkan punggung, meja kami segera dipenuhi dengan piring lauk-pauk yang begitu banyak. Dan kami hanya perlu membayar untuk lauk yang sudah ‘diusik’ sahaja.

Esoknya, kami bertolak ke kawasan peranginan Bukit Tinggi, melalui Kampar, Bangkinang, Pangkalan Kotabaru, dan Payakumbuh. Setiba di Kampar, mata saya tertumpu kepada puluhan papan tanda iklan yang bertulis "Bengkel Ketok Magis".

"Itu bengkel untuk memperbaiki mobil juga, pak! Cuma bezanya, mobil yang kemik itu dibaiki oleh roh halus. Tuan punya mobil ngak bisa melihat sendiri mobilnya diperbaiki. Hanya bisa dengar bunyi kimpalan yang ‘tung tang tung tang’ dari luar bengkel sahaja. Loh, sekejap sahaja siapnya, pak", cerita Tupik ketika kami melalui puluhan bengkel yang ditutupi keping-kepingan zink stinggi 7 meter. Mistik dan magis!

Tupik memberhentikan kenderaan apabila kami berada di puncak laluan berkelok 9 di Pangkalan Kotabaru. Sata terpesona dengan panorama dari sini. Pelbagai kenderaan kelihatan merangkak-rangkak mendaki untuk menawan laluan berkelok ini. "Ini baru 9. Nanti kita nyamping yang berkelok 44 pula, ya pak!" Gurau Tupik.

"Huh?"

Di pertengahan jalan saya meminta Tupik memberhentikan kenderaan apabila terpandang sebuah tugu seorang pahlawan yang memegang selaras senapang, dan bersiap sedia untuk melontarkan bom tangan kepada musuh. Di muka tugu Kota Adiputra itu tertulis kata-kata; PADAMU NEGERI KAMI BERBAKTI, BAGIMU JIWA RAGA KAMI – Payakumbuh, Kota Perjuangan, 17 Meret 1949. Apakah sejarah yang menyebabkan terbinanya tugu itu tidak kami ketahui.

Lewat petang kami tiba di Bukit Tinggi. Suasana di kawasan tanah tinggi itu sudah mulai dingin. Semilir yang menyapa mesra ke muka kami sedikit sebanyak membantu melunturkan rasa lelah seharian di perjalanan. Di medan Jam Gadang setinggi bangunan 5 tingkat dengan 4 paparan muka jam menjadi lokasi popular masyarakat setempat bersantai. Bendi atau kereta kuda yang dihias meriah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing. Kami sempat juga mendaki Fort de Kock, yang menjadi kota pertahanan penjajah Belanda, dan kemudiannya menjadi benteng pertahanan orang-orang Indonesia daripada serangan penjajah Jepun. Sebuah pintu gerbang dengan sebuah jambatan di atasnya dibina untuk menghubungkan Fort de Kock dengan Kebun Binatang (zoo) Bukit Tinggi.

Sebenarnya, Bukit Tinggi adalah sebuah ‘bandar mati’ apabila menjelang malam. Yang ada hanyalah dua tiga bar kecil yang dikunjungi para pengembara untuk menghilangkan dahaga. Mereka berkumpul, berbual mesra dan berkongsi pengalaman masing-masing di sini. Kami bertiga turut ‘menumpang semangkuk’ dalam perbualan ini. Sesekali kesenyapan malam yang dingin itu dipecahkan dengan dekahan ketawa mendengar pengalaman lucu yang terjadi di sepanjang pengembaraan.

Tempat tidur tidak menjadi masalah. Anda boleh menginap di mana-mana hotel ‘murah-murahan’ dengan harga RM15.00 sehingga RM40.00 semalam, bergantung kepada kemampuan masing-masing. Dengan kemudahan bilik air dan tandas, dilengkapi dengan dua buah katil bertilam nipis, bantal, dan selimut, cukup rasanya untuk pengembara meluruskan tulang belakang. Kerana sedikit terganggu dengan bau yang kurang menyenangkan, "insect repellent" kepunyaan saya menjadi pengganti haruman yang disemburkan ke serata ruang bilik hotel kami malam itu.

Esoknya, selepas bersarapan pag, kami bertolak ke Padang melalu Danau Meninjau. Betul seperti gurauan Tupik sebelumnya, kenderaan kami terpaksa menuruni 44 kelok dengan selekoh-selekohnya yang tajam. Saya rimas dengan keadaan ini, takut-takut kenderaan kami terperosok ke bawah gaung. Di tepi selekoh dipacakkan papan tanda bernombor yang mewakili setiap kelok.

"Lenguh juga mulut nak count down dari nombor 44 hingga ke nombor 1 ni!" Kata Not yang dari tadinya hanya berdiam diri di tempat duduk belakang. Tangan saya tak lepas-lepas memegang dan mencengkam hand rest. Tetapi Tupik bukan calang-calang pemandu. Dia cekap. Dirinya dan ‘kijang’ kesayangan sudah sebati, bersatu menjadi satu.

Kami singgah di Danau Meninjau. Sekadar berhenti sejenak untuk melihat-lihat orang menjala ikan. Danaunya luas, cantik dengan ombaknya yang memukul pantai.

"Banyak dapat ikan, pak?" Tegur Tupik.

"Lumayan!" Balas penjala ikan itu.

Kami ‘ngopi’ lagi dan meneruskan perjalanan ke Padang kemudiannya. Sampai di bandar Padang hari sudahpun malam.

"Nak makan sate! Nak makan sate!"

Tidak berhenti-henti perkataan itu meniti di bibir Not. Yalah, mungkin sudah terlalu bosan dengan menu yang serupa sejak dua tiga hari lalu. Dan saya sendiri pun sudah teringin benar untuk menjamah mi goreng Mamak. Ada ke kedai mamak di sini?

"Mamak! Telur lebih ya!"

Woops!

HOME: