Make your own free website on Tripod.com
PULAU MIYAJIMA - Kota suci dan tugu sejarah negara Jepun.

Rencana dan Foto oleh SINAGANAGA untuk kolum Rakaman Pengembara Majalah Dewan Siswa Februari 1998

Kerana tiada seorang pun yang mahu bergambar bersama-sama, penulis bergambar dengan seekor anak rusa jinak yang banyak terdapat di pulau Miyajima.

Hari itu kami bermalam di Hiroshima. "Menurut masyarakat tempatan, jika sudah menjejakkan kaki di Hiroshima, tidak sah kalau tidak ke pulau Miyajima", kata Puan Teruko Morita, koordinator kami ketika bersantai-santai di lobi hotel. "Bolehlah membeli o-miyage (cenderamata) untuk keluarga dan teman-teman. Murah-murah tau!", tambahnya lagi. Terpanggil dengan perkataan ‘murah-murah’ Puan Teruko, pagi-pagi lagi kami sudah menaiki bas ke jeti. Perjalanan dengan feri yang hanya memakan masa 15 minit itu, kami habiskan dengan ‘bergaya sakan’ di hadapan kamera.

Pulau Miyajima terletak di sebelah barat Teluk Hiroshima dan berukuran keliling lebih kurang 30 km. Pulau yang mempunyai anggaran 3300 orang penduduk itu dahulunya dikenali dengan nama Itsukushima, yang bermaksud ‘tempat untuk menyembah tuhan’. Pada zaman dahulu, seluruh pulau adalah kawasan suci untuk acara penyembahan agama, dan tiada siapa dibenar mendiaminya. Kini, keseluruhan pulau telah dijadikan sebagai tugu sejarah negara, destinasi perlancongan dan sebahagian daripada Taman Negara Laut Pendalaman Seto.

Dari tengah laut sudah terpapar Gunung Misen setinggi 530 meter, tegak megah seperti gergasi yang sedang duduk bertafakur. Di dalam kotak fikiran sudah berkira-kira untuk membeli sebilah pedang Samurai sebagai cenderamata apabila sampai di pulau nanti. Keluar sahaja dari pangkalan jeti saya berjalan ke utara, lalu menyusuri laluan sebelah kanan yang menghala ke kuil Itsukushima. Rusa-rusa jinak dibiarkan berkeliaran dan bebas meragut rumput di sekitar pulau itu. Jauh di belakang kelihatan kelibat seorang teman saya, Osman Mamato, sedang menarik-narik sesuatu dari mulut seekor rusa. "Oiii! Rusa ni makan peta aku", jerit Osman Mamato. Jeritannya itu disambut dengan gelak ketawa teman-teman lain. "Yang kau pergi hulur peta tu buat apa? Dia ingat kau hulur rumputlah tu...", kata seorang teman lain. Di sepanjang perjalanan terdapat banyak kuil-kuil kecil dengan rupa dan kemasan seni bina Jepun kuno. Laman kuil yang diadun harmonis oleh pohon-pohon rendang dan pohon-pohon renek berbunga kecil mewujudkan suasana yang damai untuk pengunjungnya.

Kuil Itsukushima yang dibina pada tahun 593 adalah yang paling terkenal dan dianggap suci oleh masyarakat Jepun sejak dahulu kerana dedikasinya kepada dewa penjaga pengangkutan dan perniagaan di laut. Kuil dengan tiang-tiang berwarna merah Vermilion ini adalah contoh seni bina Heian yang mahir. Apabila air pasang, air laut akan memenuhi hingga hampir ke bawah lantai dan kuil akan kelihatan seperti terapung-apung di atas laut. Koridornya pula telah dibina pada tahun 1146 oleh Taira-no-Kiyomori yang memerintah ketika itu. Di bahagian anjung hadapan kuil dibina pentas untuk upacara penyembahan agama dan persembahan kebudayaan masyarakat Jepun kuno.

Jauh ke tengah laut dan berhadapan dengan kuil Itsukushima, dibina Torii atau pintu gerbang besar yang diperbuat daripada pokok Kamfor dengan ketinggian 16 meter dan tiang utamanya mempunyai lilitan 10 meter. Torii berwarna merah Vermilion yang menjadi lambang Miyajima itu kelihatan seperti mempunyai tiang yang dipacak dalam di dasar laut. Sebenarnya tiang tersebut hanya terletak di atas dasar laut dan berdiri tegak kerana beratnya.

Akhirnya saya sampai di kedai menjual cenderamata yang diceritakan oleh Puan Teruko. "Doko kara kita desu ka? (Datang dari mana?)" sapa pemilik kedai, mungkin apabila dilihatnya kulit saya yang berwarna sawo-mateng itu. "Mareisha kara... (Dari Malaysia...)", jawab saya, pendek. "Watashimo Mareisha e itta koto ga arimashita (Saya pernah pergi ke Malaysia)", tambah lelaki berusia hampir separuh abad itu. Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala kerana penguasaan bahasa Jepun yang terhad. "Sukina o-miyage o erande kudasai! (Pilihlah cenderamata yang awak suka!)", katanya lagi. Saya pun menyusup di celah-celah susunan rak yang meletakkan pelbagai jenis cenderamata. Jauh di sudut belakang kedai tersusun pelbagai koleksi pedang Samurai. "Tokubetsu na waribiki no nedan o agemesho! (Saya akan beri potongan harga istimewa!)". Laung pekedai itu dari depan kaunter pembayaran untuk memberitahu. Saya mencapai satu bilah pedang pendek dan satu bilah lagi pedang panjang yang terpahat ukiran seekor naga.

"Sumimasen! Ikura desu ka? (Maaf! Berapakah harganya?)". Tanya saya dalam bahasa Jepun yang paling mudah. "¥10 000! (RM270) Mahu?" Pekedai itu bertanya dalam bahasa Melayu pelat Jepun. "Ya!". Jawab saya, pendek. Dua bilah pedang Samurai itu lantas dimasukkan ke dalam kotak dan dibungkus rapi dengan kertas pembalut. Memang menjadi adab masyarakat Jepun untuk membungkus daripada sebesar-besar hadiah hinggalah kepada yang sekecil-kecilnya. Wang dan pedang pun bertukar tangan. "Terima kasih!". Dia berbahasa Melayu sambil menunduk hormat. "Do itashimashite! (Sama-sama!)". Saya pula berbahasa Jepun, lagak macam sudah tinggal lama di Jepun. Wang bakinya terus saya simpan ke dalam kocek tanpa mengiranya terlebih dahulu. Pesan seorang teman berbangsa Jepun, tidak manis mengira wang baki di hadapan pekedai seolah-olah pelanggan merasakan si pekedai itu tidak jujur. Saya akur.

Saya berpatah balik menuju ke pangkalan jeti. Saya menjinjing kotak yang berisi dua bilah pedang Samurai sambil bersiul-siul kecil. "Nak letak mana pedang ini nanti ya?" Bisik suara hati sambil visual ruang tamu rumah saya di Malaysia menerjah ke dalam fikiran. "Hah! Gembiranya dia... Sudah dapat pedang Samurai itu kah?". Tegur Puan Teruko yang khabarnya sudah lama menunggu saya di pangkalan. Senyum kelat Puan Teruko berbaur dengan senyuman manis bergula saya petang itu di pulau Miyajima.

~finish~

HAKONE: Menghimpun tinggalan sejarah dan koleksi seni rupa.
HOME SWEET HOME