Make your own free website on Tripod.com

Bertemu 'Macan' di KERINCI

Rencana dan Foto oleh SINAGANAGA

untuk kolum Rakaman Pengembara Majalah Dewan Siswa edisi Oktober 1998

Penulis memberanikan diri berdiri di unjuran Kolam Air Panas Desa Semurup yang mungkin runtuh pada bila-bila masa

PADA keluasan sekitar 420,000 hektar, wilayah Kerinci terletak di bahagian paling barat jajahan Jambi, Kepulauan Sumatera, Indonesia. Secara topografi, 50.6% sahaja dimanfaatkan sebagai kawasan produktif dan penempatan penduduk, manakala 49.4% lagi dijadikan Taman Nasional Kerinci Sebelat yang berbukit-bukau. Fungsinya adalah melindungi flora dan fauna. Gunung Kerinci (3800 meter), Gunung Patah Sembilan (1817 meter), Gunung Sumbing (2507 meter), Gunung Masuarai (2935 meter), dan Gunung Seblat (2363 meter) menjadi pemisah di antara Kerinci dan sempadan jajahan Sumatera Barat di sebelah barat, dan jajahan Bengkulu di sebelah selatan. Secara umumnya Kerinci beriklim tropika yang bersuhu rendah, kerana dipengaruhi oleh udara pergunungan dengan limpahan sinar matahari sekitar 9 jam sehari. Dengan purata suhu sekitar 18C hingga 26C, kawasan tanah tinggi ini menjadi lokasi yang menarik untuk dikunjungi.

Pagi itu kami bertolak dari Padang ke Solok. Saya dan Not merangka perjalanan di atas peta dengan dibantu oleh Tupik, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang sekali gus pemandu pelancong kami. Perjalanan ke Sungai Penuh, Kerinci dari Kota Padang melalui Solok sejauh 315 Km itu akan mengambil masa sekitar 6 hingga 8 jam. "Wah! Jauh macam KL ke Pontian tu," Not memberitahu setelah mencongak-congak dengan jari. "Kalau penat, berhentilah! Singgah makan di Sungai Manggis dahulu!" pesan Pak Shahrul, majikan Tupik yang berpangkalan di Solok.

Selesai mengerjakan solat maghrib, kami terus ke destinasi yang dituju. Kami melewati rumah makan (restoran) Sungai Manggis beberapa minit kemudian. Oleh sebab perut masih kenyang, saya mengarahkan Tupik supaya meneruskan perjalanan. "Kijang" kami memecut laju di jalan raya.

Sudah hampir 3 jam kami dalam perjalanan. Kenderaan mula merangkak-rangkak kerana mendaki kawasan yang bergunung-ganang. Kerap kali kenderaan kami terenjut-enjut kerana permukaan jalan tidak rata dan rosak. Jarak penglihatan pula agak terbatas kerana persekitaran gelap-gelita dan berkabus tebal. Udara dingin dari luar menyelinap melalui cermin kenderaan yang saya turunkan sedikit. Tupik menutup alat pendingin hawa dan menyalakan lampu kecil kenderaan kerana lampu limpahnya tidak menjangkau jauh ke hadapan jalan. Kerana tidak mempedulikan pesanan Pak Shahrul supaya singgah makan dahulu di Sungai Manggis, padahnya kami terpaksa menahan lapar. "Gaya lomba (lumba) Paris-Dakkar kita ni, ya pak!" Jenaka Tupik disambut oleh ketawa "lapar" saya dan Not.

Penantian kami berakhir. Di hadapan terdapat sebuah rumah makan untuk kami berehat dan mengalas perut. Selain menyajikan makanan dan minuman, rumah makan yang sederhana besar ini dilengkapi beberapa buah bilik mandi, tandas, dan bilik sembahyang. Mungkin kerana hanya rumah makan ini sahaja yang ada televisyen, maka banyaklah penduduk setempat menumpang menonton secara percuma dari luar jendela kedai. Sambil makan, saya memerhatikan gelagat masyarakat yang berkelubung kain pelekat kerana cuaca di luar terlalu dingin. Video muzik Anang dan Kris Dayanti, pasangan penyanyi popular suami isteri dari Indonesia tertera di televisyen. "Romantis!" Dengar tak dengar sahaja perkataan yang keluar dari mulut pak cik tua di sebelah saya.

Deruan angin menerobos wind-breaker saya. Sejuknya hingga ke tulang hitam. Kami meneruskan perjalanan walaupun kelopak mata saya semakin layu. Entah bila pula saya terlelap.... kekenyangan!!!

Saya tersentak apabila merasakan kenderaan membrek secara tiba-tiba dan kemudian mengundur. "Bangun pak! Ada keramaian..." Tupik menggerak-gerakkan saya yang masih mamai di kerusi hadapan kenderaan. Tiupan seruling dan paluan genderang beriringan dengan lentik dan lenggok penari memecahkan kesenyapan pagi yang dingin di kawasan pergunungan itu. Bagai tetamu asing, kami menyaksikan seketika persembahan istimewa itu dari tingkap kenderaan sahaja. Jam di tangan sudah pukul 1:00 pagi dan kami mesti meneruskan perjalanan yang tergendala. Kami tiba di Sungai Penuh setengah jam kemudian dan terus ke bilik hotel untuk berehat.

Pagi esoknya selepas bersarapan, Pak Ujang, tuan punya hotel menemankan kami "putar-putar" di sekitar bandar Sungai Penuh dan beramah mesra dengan masyarakat setempat. Adalah dipercayai bahawa suku Kerinci Asli tergolong dalam suku Melayu Tua (Proto Malay) yang datang dari Asia Tenggara melalui Semenanjung Tanah Melayu. Dari Melaka, suku kaum ini menyeberangi Selat Melaka lalu menyusuri Pantai Timur Sumatera, kemudian ke Selat Berhala. Seterusnya mereka mudik ke Sungai Batang hingga ke Sungai Batang Merangin, dan akhirnya membuat penempatan baru di Dataran Tinggi Kerinci. Fakta inilah yang membezakan suku Kerinci Asli dengan suku Minang yang berbangga dan percaya bahawa sebahagian besar masyarakat di Pantai Barat Semenanjung Malaysia berasal dari Tanah Minangkabau dan Riau. Saya tidak menafikan fakta yang dihujahkan oleh masyarakat Minang itu.

Kami singgah di Kolam Air Panas Desa Semurup di Air Hangat yang terletak kira-kira 8 km dari Sungai Penuh. Akibat kegiatan gunung berapi, kolam air panas seluas 15 meter persegi ini sering menghamburkan wap panasnya ke permukaan. Kebiasaan yang dilakukan oleh pengunjung ke kolam air panas ini adalah merebus telur itik, pisang muda, dan ubi di dalamnya. Air panas ini juga dipercayai dapat mengubat pelbagai jenis penyakit kulit. "Boleh bikin kopi, bu?" tanya Not dalam loghat Indonesia kepada seorang perempuan tua yang sedang menanti telur itiknya masak. "Gila kamu! Kan air ini ada sulfur di dalamnya... Bisa mati loh!" katanya, menjawab gurauan itu. "Hah! Kena juga kau Not...", saya ketawa di dalam hati.

Kami menyusuri laluan ke Taman Nasional Kerinci Sebelat. Dataran di kiri dan kanan dipenuhi pokok teh seluas mata memandang yang terdampar menghijau di kaki Gunung Kerinci. Kebun teh di Sungai Jambu yang seluas 6000 hektar ini milik PTP VIII Kayu Aro yang berpusat di Medan, Sumatera Utara sejak tahun 1926 lagi. Perusahaan ini menjadi komoditi eksport terbesar wilayah Kerinci. Di samping itu kawasan tanah tinggi ini sesuai ditanam pokok Pinus Merkusi Starin yang dimanfaatkan sebagai kayu api dan sebahagian daripada bahan pelengkap pembuatan cat.

Dataran tinggi ini dipenuhi pokok Kayu Manis. Ladang-ladang yang diusahakan sejak turun-temurun oleh sesebuah keluarga ini merupakan aset wisata yang tidak ada di daerah-daerah lain di Sumatera. Kayunya yang berwarna putih kekuningan dapat dibuat ubat-ubatan dan dijadikan kayu api yang mengeluarkan bau harum apabila dibakar. Hasil utama daripada pokok ini ialah kulitnya yang dijadikan rempah untuk menambah perisa makanan. Kulit Kayu Manis yang diusahakan secara tradisional ini dijemur di atas jalan raya untuk mengeringkannya dahulu sebelum dipasarkan.

Di hujung ladang teh dibina sebuah tugu berbentuk macan (harimau) yang menjadi lambang Taman Nasioanal Kerinci Sebelat. Apabila terpandang tugu harimau itu, fikiran saya menerawang kembali ke zaman kanak-kanak. Mak Long Lijah gemar bercerita kepada kami tiga adik-beradik setiap kali pulang ke kampung pada musim cuti sekolah. Salah satu cerita kegemaran saya adalah tentang orang Kerinci yang dapat bertukar rupa menjadi harimau jadi-jadian. "Setelah diteran-teran, maka keluarlah ekor dari punggung dan lelaki itu bertukar menjadi harimau...", cerita Mak Long Lijah. Kakak-kakak saya ketakutan dan saya pula melongo panjang apabila mendengar cerita seram itu. Entah betul entah tidak! Malas pula saya hendak bertanya akan kebenaran cerita itu kepada masyarakat setempat.

Kami menyusuri jalan pulang ke Padang. Suasana di tanah tinggi ini beransur-ansur gelap. Tupik memadamkan alat pendingin hawa dan saya pula menurunkan cermin tingkap kenderaan. Angin dingin menyapa muka dan gigi saya berkertap. Tupik memberhentikan kenderaan apabila melewati sebuah danau kecil. Saya menghalakan lensa kamera kepada sekumpulan kaum ibu dan anak-anak mereka yang sedang membasuh kain dan membersihkan diri di kawasan berair itu. Beberapa orang yang berkelubung sehingga menutupi kepala melintas di hadapan kami. "Macam ninjalah!" bisik Not. Kami tidak lama di tepi danau itu kerana harus pulang segera ke Kota Padang.

~finish~

HOME SWEET HOME
PULAU MIYAJIMA
Rencana oleh SINAGANAGA