Make your own free website on Tripod.com
HAKONE ~ Menghimpunkan tinggalan sejarah dan koleksi seni rupa.

Rencana dan Foto oleh SINAGANAGA untuk kolum Rakaman Pengembara Majalah Dewan Siswa

Penulis melabuhkan punggung; melepaskan lelah di jeti tasik Ashinoko, Hakone.

Pada tahun ini saya dan teman-teman menyambut Hari Raya di Chateu-Tel Akanezaki, Atami, di daerah Shizuoka, Jepun. Amat sukar hendak menyebut nama hotel yang terletak di tebing laut ini. Kami lebih senang menyebutnya 'kuetiau tel' sahaja. Ombak laut tidak henti-henti menyapu tebing yang dipenuhi batu-batu kerikil. Angin nyaman yang bertiup sungguh mendamaikan jiwa. Jauh di tengah laut bot-bot kecil nelayan terbuai-buai dilambung ombak Lautan Pasifik. Sesekali sekumpulan burung camar putih menjunam laju ke laut; mencuri makan umpan di jala nelayan. Fikiran saya menerawang ke kampung halaman. Sukar hendak meleraikan rindu dalam suasana sebegini. Ketupat, rendang, dan kuih-muih bagaikan pita video yang berputar-putar di kotak fikiran saya. Aroma gorengan tempura yang menyelinap keluar dari dapur hotel tiba-tiba mematikan terus angan-angan saya. Lapar!!!

Dalam diam-diam, teman bangsa Jepun menyediakan acara untuk kami dari Malaysia yang pertama kali menyambut hari raya di perantauan. Selepas makan malam, kami ke kawasan lapang di belakang hotel. "Surprise! Kami beli banyak bunga api dan mercun untuk menghiburkan hati awak semua", kata Mina dan Mari Kanazawa. "Dah lama tak main bunga api ni... selalu aku beli untuk anak-anak buah saja," kata Azam sambil memilih-milih beberapa batang mercun. "Mereka pernah melihat poskad gambar kanak-kanak di Malaysia bermain bunga api pada Hari Raya. Mereka cuma hendak menggembirakan hati kamu sahaja," kata Cik Noriko Takemae, koordinator kami. "Sebenarnya perempuan dua adik-beradik ini yang nak main bunga api sangat...", tambah Hitomi Sato, disambut oleh hilai ketawa kami. Suasana malam di Chateu-Tel dihiasi dentuman mercun dan percikan bunga api pelbagai warna. Saya dan Hitomi memilih untuk bermain bunga api yang paling kecil. Pesta malam itu tidak habis begitu sahaja. Kami berkumpul di bilik Encik Ogawa sambil minum teh Jepun dan makan mi segera.

Keesokan harinya kami bertolak pulang ke Tokyo. Di pertengahan jalan kami singgah di Hakone Check Point yang terletak kira-kira 75 kilometer dari Tokyo. Terletak di tepi tasik Ashinoko di daerah Kanagawa, pusat pemeriksaan laluan masuk ke Edo ini dibina pada tahun kelima dalam era Genna (1619). Pusat pemeriksaan ini diwujudkan oleh para shogun pada zaman Edo bertujuan menyekat keluarga Daimyos daripada merancang pemberontakan terhadap pemerintah. Keluarga ini kemudiannya ditahan dan dipaksa tinggal di Edo. Segala pergerakan ahli keluarga dan pengaliran masuk senjata secara sulit dari luar dikawal ketat. Bagaimanapun kawalan di Hakone Check Point ini lebih mengutamakan kegiatan dan perjalanan keluar masuk kaum wanita Daimyos yang dicurigai menjadi perisik.

Topeng ukiran kayu dengan wajah yang menakutkan digantung di balai kawalan sebagai peringatan kepada mereka yang lalu-lalang. Pegawai di pusat pemeriksaan ini terdiri daripada bangashira (ketua dan penjaga pusat pemeriksaan), yokometsuke (pembantu bangashira), jobans (pengawal), samurai (pahlawan), beberapa orang tentera, dan pekerja am. Seorang pegawai wanita yang dikenali sebagai hitomi women akan menjalankan segala urusan penyiasatan ke atas wanita yang menggunakan laluan Hakone Check Point ini. Mereka yang disyaki akan diseksa dengan alatan yang perbuat daripada besi seperti sasumata (seperti garfu panjang berbilah dua yang digunakan untuk menyengkang leher), sodegarami (belantan berduri), dan tsukubo (pengenggam berduri) untuk mencungkil rahsia.

Sehingga hari ini bangunan yang digunakan sebagai pusat pemeriksaan atau pos kawalan laluan ke Edo ini masih kekal utuh seperti keadaan asal. Kini bangunan kayu itu dijadikan muzium yang mempamerkan ratusan barangan tinggalan sejarah. Antaranya pelbagai jenis dokumen lama, rekod laluan, peta, buku log, senjata, dan perisai. Di bilik pameran ditempatkan patung lilin yang berpakaian pahlawan lengkap dan lukisan lama yang menceritakan sejarahnya secara terperinci. Di kelilingi pokok Cedar dan panorama tasik Ashinoko dengan airnya yang kebiruan menjadikan kawasan Hakone Check Point ini sesuai dijadikan tempat untuk istirahat bersama-sama keluarga.

Alang-alang sudah sampai di Hakone, saya tidak melepaskan peluang menjengah Hakone Open-Air Museum. Bayaran masuk ke muzium ini adalah 1500 seorang. Muzium seni lukis berkonsep terbuka seluas 70 000 meter persegi ini dibuka pada bulan Ogos 1969. Di sini dipamerkan hasil seni beberapa orang artis terkenal abad ke-20.

Di ruang pameran terbuka ini terdapat 26 buah arca hasil seni pelukis berbangsa Inggeris, Henry Moore yang meninggal dunia pada tahun 1986 ketika berumur 88 tahun. Saya terpesona seketika apabila melihat arca logam hitam Moore yang terbungkam kaku di taman. Selama ini saya hanya melihatnya pada poskad dan di dalam buku seni lukis sahaja.

Di Greco Garden, dipamerkan 11 karya kontemporari pengarca Itali, Emilio Greco. Arca wanita mungil yang tidak lengkap anggota ini sering dikaitkan banyak orang sebagai perasaan berahi yang cuba ditampilkan pada imej cantik wanita. Selain itu dipamerkan beberapa arca karya Rodin, Bourdelle, Milles, dan dua orang pengarca Jepun, iaitu Morie Ogiwara dan Kotaro Takamura. Ah! Terlalu sedikit sangat saya didedahkan tentang karyawan seni Jepun. Rasa-rasanya hampir tiada langsung yang saya kenal.

Selain ruang pameran terbuka, dibina juga beberapa buah bangunan galeri yang menempatkan beratus karya seni lain. Di Main Gallery, dipamerkan hasil seni beberapa orang pengarca agung seperti Brancusi, Boccioni, Miro, Calser, dan Dubuffet. Berhadapan dengannya ialah bangunan Art Hall yang menempatkan 12 buah lukisan dan arca daripada kajian seni the Door of Death oleh Giacomo Manzu. Di Niki Hall pula dipamerkan hasil kerja pelbagai artis dan sebuah arca berjudul Miss Black Power yang diabadikan oleh Niki de Saint Phalle.

Jauh di hadapan beberapa orang teman saya memanjat Symphonic Tower. Symphonic Tower ialah bangunan setinggi 6 tingkat. Arca tersergam seperti selinder ini mempunyai tangga pusing di dalamnya yang membolehkan pengunjung naik sehingga ke puncak untuk menikmati panorama dari atas. Dinding di sebelah dalamnya pula dihiasi kaca pelbagai rupa dan berwarna-warni. Tidak perasan pula siapa pencipta karya seni ini.

Saya singgah di Picture Gallery untuk membeli beberapa cenderamata. Karya-karya pelukis Eropah dan Jepun seperti Renoir, Vlaminck, Leger, Utrillo, Chagall, Ryuzaburo Umehara, Yuzo Saeki dan Takeshi Hayashi dipamerkan di sini. "Mengapa cepat sangat keluar?" tanya Cik Noriko, juga seorang karyawan seni tenunan dan tekstil. "Lagi lama saya di dalam tu, lagi banyak duit saya habis. Poster lukisan Gustav Klimt Le Baiser ini sahaja sudah beberapa ribu yen," jawab saya. "Pelukis Perancis tu? Ermmm... di sini dipenuhi arca sahaja. Minat Picasso?" tanya Cik Noriko. "Minat juga. Tapi saya lebih minat Andy Warhol dan Robert Rauschenberg. Jum!," Saya mengajak Cik Noriko ke Picasso Pavilion yang terletak tidak jauh dari situ.

Sebanyak 230 buah hasil seni Pablo Picasso dipamerkan di sini. Beberapa keping foto mendiang Picasso semasa hidup yang dirakamkan oleh jurugambar David Douglas Duncan turut dipamerkan. "Kurator muzium ni gila Picasso agaknya...", bisik hati kecil saya. Saya leka menikmati sebuah lukisan berjudul Woman Wearing Blue Bonnet with Garland. "Jangan tenung lama-lama sangat lukisan tu... nanti tertanggal dari bingkainya," gurau Cik Noriko. Kami ketawa terkekek-kekek.

Kami berdua kemudiannya ke Main Gallery. Masuk sahaja ke dalam galeri, mata saya bingkas mencari karya Encik Rauschenberg. "Norsan! Norsan! Saya sudah jumpalah... Yahoo!!!" Saya memanggil Cik Noriko apabila terjumpa benda yang diidam-idamkan. Ingatan saya melayang ke Malaysia beberapa tahun dahulu. Saya terlepas peluang untuk berjumpa Encik Rauschenberg semasa beliau membuat pameran "Rauschenberg-Overseas Culture Interchange (ROCI)" di Balai Seni Lukis Negara. Karyanya di Hakone Open-Air Museum ini lebih kecil saiznya jika dibandingkan dengan yang dipamerkan di Malaysia. "Hah! Tuhan sudah perkenankan doa kamu. Sudah puas hati?" usik Cik Noriko lagi. Saya hanya tersengih.

"Di kampung saya di Nagano, terdapat sebuah lagi Open-Air Museum seperti ini. Utsukushi-Ga-Hara Open-Air Museum namanya. Nantilah, jika kamu datang lagi ke Jepun, saya akan bawa kamu ke sana," janji Cik Noriko. Petang itu kami terus pulang ke Tokyo menaiki kereta api dari stesen Chokoku-no-mori. Matta kita desu!

~finish~

Kembara 'murah-murahan' di: SUMBAR
HOME SWEET HOME: