BATU SANGKAR

Menjejaki Pusat Pemerintahan Kerajaan Minangkabau

Rencana dan Foto oleh SINAGANAGA

untuk kolum Rakaman Pengembara Majalah Dewan Siswa edisi Julai 1998

Penulis (kiri) dan Not bersantai di atas anak tangga yang menghala ke Istana Pagar Ruyong

BATU Sangkar terletak di pertengahan laluan di antara Padang dan Bukit Tinggi di jajahan Sumatera Barat, Kepulauan Sumatera, Indonesia. Jika berkereta dari Padang, kita akan melalui simpang tiga pekan Solok dan melewati Danau Singkarak yang terkenal kerana saiz tasiknya yang luas.

Airnya yang kebiruan dan ombak kecil menghempas tebing tasik mendamaikan hati pengunjung yang singgah. Jika menyusur dari Bukit Tinggi, kita akan melewati banjaran gunung yang terbungkam di sebelah kiri jalan. Di kaki gunung, petak-petak sawah dipenuhi anak-anak padi yang terliuk-liuk dihembus sang bayu. Sementara itu para petani sibuk dengan aktiviti harian masing-masing.

Dengan kedudukannya di tengah-tengah jajahan Sumatera Barat, tidak hairanlah jika masyarakat Minangkbau dahulu kala memilih Batu Sangkar sebagai pusat pemerintahan. Sebenarnya Batu Sangkar tidak termasuk dalam rancangan pengembaraan kami.

Oleh sebab penerbangan keluar-masuk ke Sumatera digantung kerana jerubu melanda, rancangan asal, iaitu ke Palembang, kemudian 'terbang' ke Singapura pula, terpaksa dibatalkan dan dirangka semula. "Ke mana kita hari ini, pak?" tanya Tupik, pemandu pelancong merangkap pemandu kenderaan pacuan empat roda yang kami sewa. "Batu Sangkar, boleh?" saya menjawab dalam pertanyaan. "Ya, bisa (boleh)... tapi kita harus isi solar (minyak diesel) dahulu, ya pak!" Tupik mencadangkannya sambil menghabiskan kopi 'O' keras di cawan.

Cuaca agak terik hari itu. Pendingin udara di dalam kenderaan pacuan empat roda yang terpasang 'penuh' tidak banyak membantu mengatasi cuaca yang panas menggila ini. Hujan tidak turun sejak beberapa bulan yang lalu dan masalah jerubu memburukkan lagi keadaan di Sumatera. Air mineral di dalam botol plastik yang saya bawa sudah kering sejak kami tiba di persimpangan pekan Solok lagi.

"Jauh lagi ke Tupik?" Saya bertanya sambil mengurut-urut kerongkong yang terasa kering dan dahaga. Soalan saya hanya dijawab oleh deruman enjin 'Kijang' yang kami tunggangi. Tupik cekap dan cermat memandu. Dia menumpukan sepenuh perhatiannya ke jalan raya. Saya kembali membungkam di kerusi hadapan kenderaan dan Not, teman kembara saya, sudah pun lama terlelap di kerusi belakang.

Akhirnya kenderaan kami membelok lalu memasuki laluan selorong yang sempit. Kenderaan kami bergegar-gegar apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata.

"Hah! Kita sudah sampai di Dusun Tuo, pak," kata Tupik, sambil menampakkan sekelumit garis senyum di wajahnya. Kami 'menapak' ke sebuah anak bukit tidak jauh dari tepi jalan itu. Sebuah binaan empat segi memanjang yang diperbuat daripada susunan batu sungai bersaiz pipih dibina di bawah sebatang pokok jati di atas anak bukit itu. Di atas binaan itu terdapat pula sebuah batu organik dengan kesan berlubang yang ketara di tengah-tengahnya.

Kami dihampiri oleh seorang lelaki tua yang dipercayai penjaga Kompleks Batu Bartikam Dusun Tuo itu. "Assalamualaikum! Bapak-bapak datang dari mana?" Sapa lelaki tua tiga suku abad itu. "Dari Malaysia. Saja jalan-jalan ke sini," jawab Not.

Di belakang binaan batu itu didirikan sebuah papan tanda yang menerangkan kejadian batu berlubang atau Batu Batikam di Dusun Tuo itu. Konon ceritanya, batu itu ditikam dengan keris hingga berlubang oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang, salah seorang daripada tiga orang pemerintah kerajaan Minangkabau ketika itu.

Perlakuan itu tanda sumpah setia perdamaian ketika mengakhiri perselisihan faham dalam menerima pakai antara sistem pemerintahan Koto Paliang yang diilhamkan oleh kekandanya, Datuk Katumanggungan (Datuk Temeggung) dengan adat Bodi Caniago yang diilhamkan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang.

Dipercayai juga keris yang digunakan untuk menikam batu itu kemudiannya dicampakkan jauh-jauh bagi mengelakkan daripada 'memakan tuan'nya sendiri. Maka, amanlah jajahan Kota Balai Labuh, Kota Balai Batu, Kota Kubu Rajo, dan Kota Kampa Piliang dengan pelaksanaan gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak yang bertelagah itu.

Di dalam kenderaan, saya mengambil alih tempat Not untuk melelapkan mata sambil melepaskan lelah. Lagu 'Ubekkan Denai' dalam loghat Minang yang menjadi kegemaran Tupik entah sudah berapa kali bergema dari corong radio kenderaan.

Tupik bersiul-siul kecil. Beberapa kilometer melewati Kompleks Batu Batikam, kami menjejaki sebuah kawasan perkuburan. Di tengah-tengah kawasan perkuburan, terdapat sebuah binaan beratap dan dikepung oleh pagar besi separas pinggang. Ada tiga buah batu bersurat bersaiz besar di dalamnya dengan batu sungai yang kecil dijadikan asas lantainya. Suasana di kawasan perkuburan tua itu begitu hening sekali. Hampir tidak terdengar decip burung.

"Hah! Itu orang tua penjaga kubur ini. Mungkin dia lebih arif. Saya panggil, ya pak?" Tupik memberi cadangan. Belum pun sempat saya bersetuju dengan cadangannya, Tupik cepat-cepat mendapatkan orang tua berkemeja 'T' biru, berseluar cerut gelap kusam, dan lengkap bersongkok. Dipimpinnya orang tua itu perlahan-lahan menuju ke tempat kami berdiri.

Selepas berbalas salam, orang tua itu menceritakan kisah mengenai batu tersebut. Dia bercerita dengan lancar bagaikan pita rakaman yang sering dimainkan berulang-ulang kali di dalam kotak fikirannya. Malangnya orang tua itu bercerita dalam lohgat Minang yang sukar untuk difahami. Saya meminta Tupik menterjemahkan setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut orang tua itu.

Menurutnya lagi, ketiga-tiga buah batu bersurat ini mewakili ketiga- tiga orang pemerintah kerajaan Minangkabau dahulu kala. Batu yangdi sebelah kiri mewakili Datuk Tantijo Maharajo yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal alam (dalam negara). Batu yang di tengah mewakili Datuk Perpatih Nan Sebatang yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama negara. Dan, batu di sebelah kanan mewakili Datuk Katumanggungan yang bertanggungjawab tentang adat istiadat negara.

Ketiga-tiga batu bersurat itu diukir dengan tulisan Hindu Kuno dan terdapat simbol yang sukar untuk ditafsirkan. Batu-batu kecil yang digunakan sebagai tempat duduk ketiga-tiga orang pemerintah Minangkabau ketika bermesyuarat diletakkan di anatara batu-batu bersurat. Menurut orang tua itu lagi, ada kesan lekuk akibat hentakkan tongkat Datuk Katumanggungan di hadapan batu bersurat yang mewakili dirinya.

"Begitulah seperti yang diceritakan oleh orang zaman-berzaman. Kini batu-batu bersurat ini hanya tinggal sebagai warisan sejarah dan tidak berfungsi lagi seperti dahulu. Walaupun begitu, sehingga kini masyarakat Minang masih berpenggang kuta kepada falsafah 'Adat basandi syarak, syarak basandi kitabullah' (Adat bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitab Allah)," cerita orang tua itu mengakhiri perbualan. Kami menghulurkan 'buah tangan' Rp5000 sebagai tanda terima kasih kepadanya dan meminta diri untuk ke tempat lain. Kami menemui sebuah lagi tapak perkuburan tua beberapa kilometer dari Kompleks Batu Bersurat itu.

Bersebelahan dengan sebuah makam yang berselubung kain kuning, terletak sebuah batu hampar yang dinamakan Batu Timbang atau lebih dikenali sebagai Batu Uji Seribu Janji.

Menurut cerita masyarakat setempat, kononnya pada zaman dahulu kala, semua calon pengganti sultan diuji kemampuannya di sini. Saya dan Not memberanikan diri cuba mengangkat sebahagian daripada pecahan batu itu. Terlalu berat dan rasanya tidak berganjak sedikit pun. Untuk mengangkatnya memerlukan kuasa yang luar biasa. Batu selebar dua depa yang telah terpatah dua itu terletak di dalam sebuah padang yang dipanggil Gelanggang Alam dan dipagari oleh tiga batang pokok Beringin Sakti.

Kami meninggalkan kawasan yang menyeramkan itu dan bergegas ke Istana Pagar Ruyong kerana hari sudah hampir petang. Di tepi jalan kelihatan bangunan istana yang tersergam megah menggamit pengunjungnya untuk singgah.

Menurut cerita penjaganya, istana asalnya telah musnah terbakar, dan istana yang ada sekarang ialah bangunan baru yang dibina di tapak asal. Kami berpeluang meninjau-ninjau ruang di dalam istana yang didirikan di atas tiang seri sebesar sepemeluk. Rekaan atap jerami berasaskan tanduk kerbau yang memudahkan pengaliran air hujan dan dinding daripada kemasan lekar yang dititip motif flora di atasnya melengkapkan kesergaman hasil seni bina Minangkabau.

Kemudian kami pulang ke hotel di Padang. Di dalam bilik, Not sibuk membalik-balikkan helaian peta Sumatera berulang-ulang kali sambil membaca keterangan gambar tentang objek wisata (pelancongan) di situ. Saya pula sibuk mengira wang perbelanjaan untuk hari-hari seterusnya agar tidak 'terputus' di pertengahan jalan. Tupik sudah lama berdengkur kerana kepenatan.

Televisyen pula terpasang, walaupun tiada siapa antara kami yang mahu menonton. Di dalam kepala saya sudah berkira-kira untuk ke Kerinci keesokan harinya. Ermmmm...

~finish~

Bertemu 'Macan' KERINCI: Rencana oleh SINAGANAGA